Perumpamaan ialah perbandingan makna yang sangat jelas kerana ia didahului oleh perkataan ‘seolah-olah’, ‘ibarat’, ‘bak’, ‘seperti’, ‘laksana’ ‘macam’,’bagai’, dan ‘umpama’,. Istilah pinjaman Inggeris bagi perumpamaan ialah ‘simili’.
Berikut ialah contoh-contoh perumpamaan :
Laksana golok kayu, diletak tak makan, dijual tak laku.
Maksudnya : Sesuatu yang tidak mendatangkan faedah.
Bagai burung dalam sangkar, mata terlepas badan terkurung.
Maksudnya: Hidup yang tidak bebas kerana terkongkong oleh adat, peraturan dan kuasa.
Umpama membungkus api.
Maksudnya: menyimpan rahsia yang lambat laun akan diketahui orang juga.
Ibarat mencangkul angin.
Maksudnya: angan-angan yang tidak disertai usaha.
Laksana perempuan mandul baru beranak.
Maksudnya:kegembiraan dan kesyukuran yang amat sangat kerana mendapat sesuatu yang hampir-hampir putus asa.
Bak mentimun bengkok.
Maksudnya: tidak dianggap penting dan diketepikan orang.
Macam ikan kena tuba.
Maksudnya: tidak berdaya upaya atau terlalu sakit, hampir-hampir mati.
Ibarat perahu, tidak akan karam sebelah.
Maksudnya: kaum keluarga tidak akan membiarkan kita menderita sendiri.
Biasanya perkataan ‘seolah-olah’, ‘ibarat’, ‘laksana’, ‘bak’, ‘bagai’, ‘macam’, dan ‘umpama’, berada di hadapan perumpamaan. Tetapi ada kalanya perkataan-perkataan itu berada di tengah-tengah perumpamaan.
Sebagai contoh:
Payah umpama memelihara diri dalam sarang lebah.
Pantas seperti lipas kudung.
Cantik bagai bulan penuh.
Perumpamaan boleh menjadi bidalan apabila didahului oleh perkataan ‘ jangan ‘
Sebagai contoh :
A) seperti menggenggam bara api, terasa hangat dilepaskan. ( perumpamaan)
B) Jangan digenggam seperti bara api, terasa hangat dilepaskan. ( bidalan)
Simpulan bahasa boleh menjadi perumpamaan apabila diberi perkataan ‘macam’, ‘seperti’ dan seumpamanya.
Sebagai contoh:
A) Kaca terhempas ke batu. ( simpulan bahasa )
B) Seperti kaca terhempas ke batu. ( perumpamaan )
kalau laksana pohon kayu tiada buah....ape pulak maksudnya....nk thu jugak....(nk ade ilmu kan,kenalah cari org yg berilmu dulu...hehehe
ReplyDelete