Definisi Ilmu Bahasa / Linguistik
Secara mudah dapatlah dikatakan bahawa ilmu linguistik adalah ilmu yang mengkaji bahasa secara ilmiah atau secara saintifik. Dengan demikian, kajian bahasa merupakan satu kajian yang sama dengan bidang-bidang kajian sains lainnya yang memerlukan pemerhatian yang teliti dan mendalam. Kajian bahasa memerlukan undang-undang dan syarat-syarat tertentu berdasarkan teori-teori yang tertentu juga.Hasilnya pula merupakan sesuatu yang dapat dipertanggungjawabkan . Denan perkataan lain kajian bahasa mestilah dilakukan berdasarkan data-data yang menyeluruh dan data-data itu mestilah data-data empirikal dan dapat dijadikan kenyataan, bukan merupakan data-data yang hanya berupa “bayangan, pandangan atau anggapan” sahaja. Hasil analisis yang dijalankan mestilah konsisten, iaitu tidak bercanggah di antara satu sama lain.Hasil analisis adalah rumus-rumus yang berupa peraturan-peraturan bahasa yang boleh diujikajikan dan haruslah ringkas,tepat dan padat sifatnya.
Cabang-cabang Ilmu Linguistik
Linguistik Deskriptif
Linguistik deskriptif adalah ilmu linguistik yang memerikan tentang sesuatu bahasa dari segala segi pada suatu jangka masa yang tertentu, berdasarkan bahan-bahan yang terdapat pada waktu itu.Bahan yang diutamakan di dalam kajian ialah lisan atau pertuturan yang diperolehi daripada penutur jati.Walau bagaimanapun bahan tulisan boleh juga digunakan, malah ada juga pengkaji-pengkaji linguistik deskriptif yang menjadikan bahasa lisan dan tulisan sebagai bahan kajian. Yang paling penting bagi pengkaji linguistik deskriptif ini ialah “memerikan struktur sesuatu bahasa sebagaimana kewujudannya”. Dengan demikian, bagi mereka, bahasa bukanlah sesuatu yang static tetapi sentiasa berubah mengikut peredaran masa.
Bidang yang termasuk dalam kajian linguistik deskriptif ialah bidang fonologi (bunyi), morfologi(pembentukan perkataan) dan sintaksis(ayat). Bidang-bidang ini dikaji secara saintifik dan hasil daripadanya dirumuskan peraturan-peraturan tertentu yang merupakan rumus atau undang-undang bahasa itu.
Pengkajian bahasa secara deskriptif ini disebut juga sebagai kajian bahasa secara sinkronik, iaitu kajian mengenai sesuatu bahasa yang tertentu, pada sesuatu tempat yang tertentu, dituturkan oleh suatu golongan yang tertentu dan pada masa atau zaman yang tertentu juga.
Linguistik Historis
Linguistik historis merupakan cabang kajian linguistik yang melihat perkembangan sesuatu bahasa, iaitu dari zaman awal kemunculannya hinggalah ke suatu tahap yang tertentu. Linguistik historis meninjau perubahan-perubahan dan perkembangan-perkembangan yang dialami oleh sesuatu bahasa dalam proses penggunaannya yang mengarusi beberapa zaman. Segala punca, sebab dan akibat yang dialami hasil daripada perubahan dan perkembangan bahasa itu diselidiki dan direkodkan untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku terhadap bahasa itu. Punca perubahan itu mungkin datangnya dari luar atau dari dalam. Punca dari luar misalnya kemasukan pengaruh-pengaruh asing ke dalam bahasa itu, sementara perubahan dan perkembangan yang berpunca dari dalam pula mungkin hasil dari berlakunya perubahan sikap penutur yang mahu melakukan perubaan secara sengaja terhadap bahasa itu dalam usaha menjadikan bahasa itu maju dan berkembang sesuai dengan peredaran zaman.
Satu hal yang penting, Di dalam kajian linguistik historis ini ialah kajian tertumpu kepada lebih dari satu zaman. Walau bagaimanapun, bagi mengasingkan secara rigid akan tahap sesuatu zaman itu adalah mustahil kerana bahasa itu berubah atau berkembang secara evolusi bukan secara drastik. Di antara satu zaman dengan zaman yang lainnya tidak ada garis pemisah yang nyata kerana penggunaan bahasa adalah bertali arus dari suatu ke suatu masa yang berikutnya.Pemisahan yang dibuat hanyalah semata-mata demi kepentingan kajian. Dalam bahasa Melayu misalnya,pemisah zaman di dalam perkembangan bahasa, sering dibuat berdasarkan kepada pengaruh yang mendatang misalnya, peringkat perkembangan bahasa Melayu pada zaman kerajaan Melaka, sebelum datangnya agama islam, sebelum penjajahan dan selepas penjajahan, iaitu sejak merdeka hingga sekarang. Di dalam kajian linguistik historis kajian secara sinkronik adalah penting.Seorang pengkaji mestilah mengkaji secara terperinci akan keadaan bahasa yang dikajinya itu dalam beberapa zaman atau masa yang tertentu dan tempat yang tertentu juga. Setelah melakukan kajian secara sinkronik, ia terpaksa pula meneruskan kajiannya secara diakronik, iaitu membuat perbandingan di antara beberapa zaman untuk melihat perbezaan,menentukan perubahan dan perkembangan yang berlaku di dalam bahasa tersebut.Perbandingan boleh dibuat dari berbagai-bagai segi misalnya dari segi fonologi,morfologi,sintaksis,makna,ejaan,system tulisan, dan sebagainya.
Linguistik Komparatif atau Bandingan
Linguistik Komparatif pula adalah satu cabang kajian linguistik yang membuat perbandingan antara beberapa bahasa yang difikirkan mempunyai hubungan persejarahan. Sebagaimana kajian linguistik historis,linguistik komparatif juga boleh menumpukan kajian kepada aspek sebutan, perkataan dan ayat di antara beberapa bahasa yang dikaji itu. Hasil daripada kajian perbandingan itu akan disimpulkan adakah bahasa-bahasa yang dikaji itu berasal dari satu induk atau satu rumpun.Hasil kajian itu juga akan dapat memperlihatkan apakah perubahan-perubahan yang berlaku terhadap bahasa induk itu tadi sehingga akhirnya muncul beberapa “bahasa anak” yang dituturkan oleh kumpulan penutur yang berlainan.Daripada beberapa kajian komparatif yang pernah dilakukan terhadap bahasa-bahasa di Kepulauan Melayu misalnya, nyata bahawa bahasa-bahasa seperti bahasa Malaysia, bahasa Indonesia,Jawa,Sunda, Batak,Tagalog,Bugis,Banjar,Minangkabau dan bahasa-bahasa lain disekitarnya adalah berasal dari satu induk iaitu bahasa Melayu.
No comments:
Post a Comment