I made this widget at MyFlashFetish.com.

TOKOH-TOKOH BAHASA SEBELUM MERDEKA: RAJA ALI HAJI

2.          Raja Ali Haji
Raja Ali Haji ( 1809 – 70 ). Beliau ialah salah seorang di antara sasterawan yang sezaman dengan Abdullah tetapi mempunyai latar  pendidikan yang berbeza. Raja Ali Haji yang berpendidikan Arab masih mengekalkan bahasa Melayu Klasik  yang banyak dipengaruhi oleh perkataan Arab dan struktur bahasa Arab. Perhatikan bahasa yang terdapat di dalam petikan Tuhfat Al-Nafis seperti yang berikut ini:
Bis-mi’llahi’r-rahmani’r-rahim.Maka pada ketika di dalam Hijrat al-Nabi salla Allahu ‘alaihi wasallam seribu dua ratus delapan puluh dua tahun dan pada tiga haribulan Syaaban yang maha besar dan berbangkitlah hatiku bahawa memperbuat kitab ini yang simpan, dan di dalamnya menyatakan silsilah dan perjalanan dan tawarikh dan segala anak-anak mereka itu. Dan aku namai akan dia “Tuhfat al-Nafis” pada menyatakan kelakuan daripada Raja-raja Melayu serta Bugis.Padahal mengharapkan aku akan Allah yang mengampuni daripada tersalah pada segala tawarikh dan perjalanannya.Ya Tuhanku, perkenankan oleh-Mu akan pinta hamba-Mu intiha.
            Walaupun Raja Ali Haji dapat dikatakan sezaman dengan Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi,tetapi bahasa mereka Nampak jauh berbeza. Hal ini tidaklah menghairankan kerana mereka memiliki latar belakang pendidikan yang berbeza, kerjaya yang berbeza dan lingkungan yang berbeza. Abdullah berpendidikan Inggeris, bekerja sebagai penterjemah bahasa Inggeris dan hidup di tengah-tengah masyarakat perdagangan di Singapura.Raja Ali pula berpendidikan Arab, pendakwah dan hidup di tengah-tengah masyarakat pertanian di Riau.
            Raja Ali Haji merupakan seorang penulis yang berbakat pada zamannya. Sumbangan beliau dalam lapangan bahasa, persuratan, sejarah dan agama telah menjadi bahan kajian ramai sarjana dan orientalis. Di antara beberapa  karya beliau yang penting ialah sebuah karya yang berjudul Bustanul-Katibin Lissubyanil-Muta’alimi atau dalam bahasa Melayu, Kitab Perkebunan Jurutulis bagi Kanak-kanak yang Hendak Menuntut Belajar Akan Dia. Hasilnya merupakan sebuah karya kritis tentang nahu bahasa Melayu. Buku ini dikarang oleh beliau pada 20 Syaaban 1273 bersamaan 15 April 1857.Buku ini diusahakan dengan menggunakan cap batu di penyegat. Karya ini banyak diulas dan diterjemahkan ke dalam bahasa Belanda oleh Van Ronkel dalam Tijdschrift Voor Indische Taal Land-en Volkenkunde pada tahun 1901.
            Bustanul-Katibin mengandungi mukadimah (pendahuluan), 31 fasal dan khatimah (penutup) serta tebalnya 70 halaman. Isinya pula boleh dibahagikan  kepada dua bahagian,satu bahagian berkenaan penulisan Melayu dan bahagian-bahagian yang lain berkenaan nahu bahasa Arab yang telah disesuaikan  dengan bahasa Melayu. Mengenai bahagian yang pertama ini dapatlah dikatakan bahawa pengarang agak berjaya, tetapi tidak pada bahagian yang kedua itu. Buku ini dianggap kurang memuaskan oleh sarjana Belanda yang bernama H. Von de Wall. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu pada zaman itu karya tersebut merupakan sebuah karya yang bernilai.Buku itu juga telah digunakan secara meluas di sekolah-sekolah Melayu di Johor dan Singapura. Raja Ali Haji boleh dianggap sebagai ‘pujangga’ bercorak klasik yang akhir sekali, dan fakta ini terdapat dalam karyanya itu. Beliau cuba menggunakan  system penggunaan nahu untuk bahasa Melayu, tetapi apa yang sebenarnya berlaku ialah beliau masih lagi mempertahankan bahasa klasik.
            Sebuah lagi karya Raja Ali Haji yang penting berkaitan bahasa Melayu ialah Kitab Pengetahuan Bahasa.Buku ini merupakan usaha yang berkaitan lapangan-lapangan perkamusan. Buku ini ditulis dalam tahun 1858 tetapi diterbitkan pertama kalinya pada tahun 1928 M oleh percetakan Al-Ahmadiah di Singapura. Dalam memperkatakan perkembangan bahasa Melayu pada abad kesembilan belas, kita tidak boleh lari daripada memperkatakan kegiatan sasteranya. Raja Ali Haji  tidak ketinggalan dalam menghasilkan karya dalam bidang ini. Raja Ali Haji pernah mengarang sejumlah gurindam yang sangat terkenal dalam lapangan sastera lama iaitu Gurindam Dua Belas.Gurindam ini diciptanya dalam dua belas fasal; ada fasal yang bersangkutan dengan soal –soal ibadat perseorangan, kewajipan raja-raja dan sifat-sifat bermasyarakat. Ada pula yang berkaitan dengan tugas orang tua terhadap anak mereka, kewajipan anak kepada orang tua dan lain-lain lagi. Gurindam-gurindam ini pernah disiarkan dalam jurnal berbahasa Belanda iaitu Tijdschrift Voor Indische Taal Land-en Volkenkunde No.2, pada tahun 1853 dengan judul De Twalf Spreukgedichten.
            Dalam bidang sejarah, terdapat dua buah karya Raja Ali Haji yang penting iaitu Kitab Salasilah Melayu dan Bugis dan Tuhfat al-Nafis. Kitab Salasilah Melayu dan Bugis telah dihasilkan pada tahun 1860, sementara kitab Tuhfat al-Nafis pula dihasilkan pada tahun 1865. Kedua-dua karya ini membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan raja-raja Bugis, asal usul mereka dan pergolakan politik yang mereka alami sehingga menyebabkan mereka tersingkir daripada kuasa diraja tradisonal dari kepulauan Riau. Tuhfat al-Nafis pula merupakan sebuah hasil sejarah Melayu yang penting. Karya sejarah ini memperlihatkan betapa besarnya Raja Ali Haji sebagai seorang ahli sejarah dan pencatat peristiwa zamannya. Buku ini dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama, kandungannya memperkatakan hal-hal yang berlaku sebelum zamannya yang merangkumi lapan puluh peratus daripada kandungannya. Sementara bahagian kedua, memperkatakan sejarah semasa yang ditulis berlaku ketika hayatnya.
            Faktor yang menganggap Raja Ali Haji sebagai pelopor penulisan sejarah Melayu di kalangan tokoh-tokoh ssejarah tradisional yang lain ialah kerana kesedarannya dalam menulis sejarah, serta motif penulisannya adalah untuk kepentingan sejarah. Jika kita tinjau dari sudut nahu pula, kita dapati beliau begitu terpengaruh dengan nahu Arab.Namun begitu kita tidaklah boleh menyamakan kedudukan beliau pada masa itu dengan keadaan yang ada pada zaman ini. Didikan yang beliau perolehi pada masa itu adalah masih bercorak tradisional dan gaya bahasa yang digunakannya adalah bersesuaian dengan gaya bahasa pada masa tersebut.
            Raja Ali Haji meninggalkan beberapa banyak karya yang terkenal dan menjadi kajian intelektual baik peringkat alam Melayu mahupun peringkat antarabangsa, iaitu Gurindam Dua Belas, ( 1846 M ), Bustanul- Katibin Lissubyanil-Muta’alimi,(1267 H/1850 M ), Kitab Pengetahuan Bahasa (1865 M), Salasilah Melayu dan Bugis (1860 M) Tuhfat al-Nafis (1865 M), Thamarat al-Muhimmat Li Jafahli al umara Wal Kubara Li Ahli al Mahkamah,Syair Nikah, Syair Gemala Mustika, Syair Abdul Muluk, Jauharat Makmunah, Syair Suluh Pegawai dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment