I made this widget at MyFlashFetish.com.

TOKOH-TOKOH BAHASA SEBELUM MERDEKA: ABDULLAH BIN KADIR MUNSYI

1.    Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi
Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi ( 1796 – 1854 )  telah menghasilkan karya pertamanya pada tahun 1830 bertajuk Syair Singapura Terbakar. Abdullah Munsyi bukan sekadar memperlihatkan perkembangan bahasa Melayu tersebut melalui karya kesusasteraan malahan juga beliau menyedari betapa  pentingnya buku nahu bahasa Melayu.Namun, baginya, nahu sesebuah bahasa bukanlah dapat menyelesaikan seratus peratus masalah bahasa. Hal ini lebih nyata apabila nahu sesuatu bahasa dikaji oleh orang asing yang bahasa ibundanya bukan bahasa Melayu, dan tujuan membuat kajian tersebut bukanlah berdasarkan ilmu melainkan kerana kepentingan tertentu.
            Beliau melihat bahawa nahu bahasa Melayu yang ditulis oleh orang asing hanyalah merupakan pengubahsuaian nahu bahasa mereka sendiri yang cuba dipaksakan ke dalam bahasa Melayu.Itulah sebabnya beliau mengatakan, “Sebermula hendaklah engkau ketahui, janganlah tersalah faham. Maka jikalau ada nahu bahasa Melayu itu nescaya meringankan pekerjaan sahaja gunanya, jangan engkau sangkakan boleh menjadi pandai dalam pekerjaan karang-mengarang.Maka sungguhpun diletakkan hukumannya maka ada juga lagi beberapa perkataan yang tiada menurut hukum itu. Umpamanya, jikalau seratus hukum itu barangkali tujuh puluh sahaja yang masuk dalam hukum  itu, dan yang tiga puluh itu di luarnya.’
            Di samping itu, jika kita bandingkan bahasa Melayu sebelum zaman Abdullah dan bahasa yang  digunakan oleh Abdullah nyatalah ada perkembangannya. Perhatikan bahasa yang terdapat di dalam petikan yang berikut ini, “Bahawa ini Kisah Pelayaran Abdullah bin Abdul Kadir munsyi  kepada tarikh sanat 1253 tahun. Maka bahawa sesungguhnya kepada tahun ini adalah barang saudagar-saudagar orang Cina dan orang Yahudi yang duduk dalam negeri Singapura, kira-kira sepuluh dan dua belas orang, telah member sambutan dagangan kepada Cina sampan pukat empat buah, kira-kira empat lima puluh ribu ringgit banyaknya, akan dibawanya ke negeri Pahang dan Terengganu dan Kelantan, Patani dan Senggora.
Perkembangan bahasa Melayu yang diperlihatkan oleh Abdullah adalah sebagai ‘menciptakan perkataan-perkataan atau ungkapan baru dalam bahasa Melayu untuk mempercakapkan hal-hal atau benda-benda baru yang timbul kerana pertemuan antara kebudayaan Timur dan Barat’. Perkembangan bahasa yang dibawa oleh Abdullah tidaklah menghairankan kerana ia mendapat pendidikan Inggeris manakala sasterawan sebelumnya ramai yang mendapat pendidikan Arab.
            Karya-karya Abdullah ialah Syair Singapura Terbakar (1830), Hikayat Kalilah dan Daminah ( terjemahan Tamil,( 1835 ), Kitab Adat Segala Raja-raja Melayu Dalam Segala Negeri ( 1837 ),Dawail-Kulub ( 1838 ), Kisah Pelayaran Abdullah Ke Kelantan  ( 1838 ), Hikayat Abdullah ( 1843 ), dan Kisah Pelayaran Abdullah Ke Jedah ( 1854 ).

No comments:

Post a Comment