I made this widget at MyFlashFetish.com.

NAHU ATAU TATABAHASA

Apa Dia Nahu?
Perkataan nahu atau tatabahasa adalah terjemahan daripada perkataan grammar. Perkataan grammar ini sebenarnya berasal daripada perkataan Greek, makna asasnya ialah “sesuatu seni bacaan dan penulisan”. Perkataan ini kemudiannya digunakan sebagai istilah umum untuk kajian dan pemerian(penghuraian) bahasa.Biasanya apabila orang menyebut nahu tradisional atau tradisional grammar, inilah maksud yang tergambar di dalam fikiran kita.
            Bagi menghuraikan apakah dia nahu, di sini dikemukakan pendapat Lyons(1971) yang tertulis di dalam artikelnya “structural Organization of Language-Grammar”. Menurut beliau, pada mulanya (iaitu pada zaman pengkajian bahasa khusus kepada bahasa Greek dan Latin) kajian nahu menumpukan perhatiannya kepada bahasa kesusasteraan dan perhatian yang kecil sahaja diberikan  kepada aspek lisan. Nahu merupakan aspek bahasa yang mesti diajar secara formal disekolah-sekolah sebagaimana kemahiran menulis dan membaca. Mereka tidak menekankan bahawa pertuturan adalah aspek  bahasa yang diucapkan berdasarkan kepada undang-undang atau nahu. Oleh yang demikian, bagi mereka ‘nahu’ mestilah preskriptif sifatnya, iaitu nahu mestilah merupakan peraturan-peraturan atau undang-undang bahasa yang dapat dijadikan pegangan di dalam penguasaan bahasa. Ahli-ahli tatabahasa mestilah menjalankan tugas mencipta undang-undang bagi pengucapan dan penulisan yang betul.
            Bagi Lyons, nahu tidaklah hanya harus ditinjau dari sudut pandangan tersebut ( sudut preskriptif) kerana nahu juga boleh ditinjau dari sudut deskriptif atau huraian. Berdasarkan sudut tinjauan deskriptif, nahu adalah satu kajian dalam bentuk huraian terhadap apa yang sebenarnya dipertuturkan orang, bukan “ apa yang sepatutnya dituturkan orang”. Huraian itu bolehlah berdasarkan kepada pandangan seseorang atau pandangan kita sendiri.
            Berdasarkan apa yang diutarakan oleh Lyons tadi, jelaslah bahawa maksud grammar atau nahu itu begitu luas sekali. Dalam ilmu linguistik moden, takrif nahu telah dikhususkan sedikit demi kepentingan kemudahan pengkajian.Aspek kajian nahu telah meninggalkan bidang fonetik, sebaliknya menumpukan kajian terhadap bidang morfologi dan sintaksis. Dengan demikian dapatlah ditakrifkan bahawa nahu atau tatabahasa adalah satu bidang linguistik yang mengkaji dan memerikan bahasa secara saintifik dan kajiannya adalah ditumpukan kepada perkataan, proses pembentukkannya dan proses penyusunannya dalam membentuk ayat.
Jenis-jenis Nahu
(a)    Nahu Deskriptif
Nahu deskriptif ialah nahu yang memerikan tentang sesuatu bahasa dari segala segi pada suatu jangka masa yang tertentu berdasarkan bahan-bahan yang terdapat pada waktu itu. Bahan-bahan yang digunakan mungkin terdiri daripada bahan-bahan pertuturan atau lisan oleh penutur jati bahasa itu atau boleh juga menggunakan dokumen-dokumen bertulis seperti yang telah dibuat oleh Palmer atau menggunakan kedua-dua bahan sekali. Yang paling penting dalam nahu jenis  ini ialah “ mengkaji dan memerikan struktur sesuatu bahasa, iaitu memerikan bahasa sebagaimana kewujudannya.”
Bidang yang dikaji dalam linguistik deskriptif ialah bidang fonologi, morfologi dan sintaksis.
(b)   Nahu Transformasi Generatif
Nahu ini menganalisis bahasa berdasarkan kepada korpus-korpus(corpus) dan tujuan utamanya ialah untuk memudahkan seseorang mempelajari sesuatu bahasa itu membentuk ayat-ayat baru dan memahami pertuturan orang lain yang tidak pernah didengarinya.
(c)    Nahu Tradisional
Nahu tradisional adalah nahu yang tertua diantara jenis-jenis nahu lainnya. Nahu ini mementingkan precristive rules yang mesti dipatuhi. Jadi mengikut nahu ini undang-undang atau tatabahasa telah disediakan dan penggunaan atau pengajaran bahasa mestilah berdasarkan kepada undang-undang tersebut. Ini bermakna nahu ini akan mewujudkan satu bentuk bahasa yang betul dan tepat sepanjang masa.

ILMU LINGUISTIK

Definisi Ilmu Bahasa / Linguistik
Secara mudah dapatlah dikatakan bahawa ilmu linguistik  adalah ilmu yang mengkaji bahasa secara ilmiah atau secara saintifik. Dengan demikian, kajian bahasa merupakan satu kajian yang sama dengan bidang-bidang kajian sains lainnya yang memerlukan pemerhatian yang teliti  dan mendalam. Kajian bahasa memerlukan undang-undang dan syarat-syarat tertentu berdasarkan teori-teori yang tertentu juga.Hasilnya pula merupakan sesuatu yang dapat dipertanggungjawabkan . Denan perkataan lain kajian bahasa mestilah dilakukan berdasarkan data-data yang menyeluruh dan data-data itu mestilah data-data empirikal dan dapat  dijadikan kenyataan, bukan merupakan data-data yang hanya berupa “bayangan, pandangan atau anggapan” sahaja. Hasil analisis yang dijalankan mestilah konsisten, iaitu tidak  bercanggah di antara satu sama lain.Hasil analisis adalah rumus-rumus yang berupa peraturan-peraturan bahasa yang boleh diujikajikan dan haruslah ringkas,tepat dan padat sifatnya.

Cabang-cabang Ilmu Linguistik
Linguistik Deskriptif
Linguistik deskriptif adalah ilmu linguistik yang memerikan tentang sesuatu bahasa dari segala segi pada suatu jangka masa yang tertentu, berdasarkan bahan-bahan yang terdapat pada waktu itu.Bahan yang diutamakan di dalam kajian ialah lisan atau pertuturan yang diperolehi daripada penutur jati.Walau bagaimanapun bahan tulisan boleh juga digunakan, malah ada juga pengkaji-pengkaji linguistik deskriptif  yang menjadikan bahasa lisan dan tulisan sebagai bahan kajian. Yang paling penting bagi pengkaji linguistik deskriptif ini ialah “memerikan struktur sesuatu bahasa sebagaimana kewujudannya”. Dengan demikian, bagi mereka, bahasa bukanlah sesuatu yang static tetapi sentiasa berubah mengikut peredaran masa.
Bidang yang termasuk dalam kajian linguistik deskriptif  ialah bidang fonologi (bunyi), morfologi(pembentukan perkataan) dan sintaksis(ayat). Bidang-bidang ini dikaji secara saintifik dan hasil daripadanya dirumuskan peraturan-peraturan tertentu yang merupakan rumus atau undang-undang bahasa itu.
Pengkajian bahasa secara deskriptif ini disebut juga sebagai kajian bahasa secara sinkronik, iaitu kajian mengenai sesuatu bahasa yang tertentu, pada sesuatu tempat yang tertentu, dituturkan oleh suatu golongan yang tertentu dan pada masa atau zaman yang tertentu  juga.

Linguistik Historis
Linguistik historis merupakan cabang kajian linguistik yang melihat perkembangan sesuatu bahasa, iaitu dari zaman awal kemunculannya hinggalah ke suatu tahap yang tertentu. Linguistik historis meninjau perubahan-perubahan dan perkembangan-perkembangan yang dialami oleh sesuatu bahasa dalam proses penggunaannya yang mengarusi beberapa zaman. Segala punca, sebab dan akibat yang dialami hasil daripada perubahan dan perkembangan bahasa itu diselidiki dan direkodkan untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku terhadap bahasa itu. Punca perubahan itu mungkin datangnya dari luar atau dari dalam. Punca dari luar misalnya kemasukan pengaruh-pengaruh asing ke dalam bahasa itu, sementara perubahan dan perkembangan yang berpunca dari dalam pula mungkin hasil dari berlakunya perubahan sikap penutur yang mahu melakukan perubaan secara sengaja terhadap bahasa itu dalam usaha menjadikan bahasa itu maju dan berkembang sesuai dengan peredaran zaman.
            Satu hal yang penting, Di dalam kajian linguistik  historis ini ialah kajian tertumpu kepada lebih dari satu zaman. Walau bagaimanapun, bagi mengasingkan secara rigid akan tahap sesuatu zaman itu adalah mustahil kerana bahasa itu berubah atau berkembang secara evolusi bukan secara drastik. Di antara satu zaman dengan zaman yang lainnya tidak ada garis pemisah yang nyata kerana penggunaan bahasa adalah bertali arus dari suatu ke suatu masa yang berikutnya.Pemisahan yang dibuat hanyalah semata-mata demi kepentingan kajian. Dalam bahasa Melayu  misalnya,pemisah zaman di dalam perkembangan bahasa, sering dibuat berdasarkan kepada pengaruh yang mendatang misalnya, peringkat perkembangan bahasa Melayu pada zaman kerajaan Melaka, sebelum datangnya agama islam, sebelum penjajahan dan selepas penjajahan, iaitu sejak merdeka hingga sekarang. Di dalam kajian linguistik historis kajian secara sinkronik adalah penting.Seorang pengkaji mestilah mengkaji secara terperinci akan keadaan bahasa yang dikajinya itu dalam beberapa zaman atau masa yang tertentu dan tempat yang tertentu juga. Setelah melakukan kajian secara sinkronik, ia terpaksa pula meneruskan kajiannya secara diakronik, iaitu membuat perbandingan di antara beberapa zaman untuk melihat perbezaan,menentukan perubahan dan perkembangan yang berlaku di dalam bahasa tersebut.Perbandingan boleh dibuat dari berbagai-bagai segi misalnya dari segi fonologi,morfologi,sintaksis,makna,ejaan,system tulisan, dan sebagainya.
Linguistik Komparatif atau Bandingan
Linguistik Komparatif pula adalah satu cabang kajian linguistik yang membuat perbandingan antara beberapa bahasa yang difikirkan mempunyai hubungan persejarahan. Sebagaimana kajian linguistik historis,linguistik komparatif juga boleh menumpukan kajian kepada aspek sebutan, perkataan dan ayat di antara beberapa bahasa yang dikaji itu. Hasil daripada kajian perbandingan itu akan disimpulkan adakah bahasa-bahasa yang dikaji itu berasal dari satu induk atau satu rumpun.Hasil kajian itu juga akan dapat memperlihatkan apakah perubahan-perubahan yang berlaku terhadap bahasa induk itu tadi sehingga akhirnya muncul beberapa “bahasa anak” yang dituturkan oleh kumpulan penutur yang berlainan.Daripada beberapa kajian komparatif yang pernah dilakukan terhadap bahasa-bahasa di Kepulauan Melayu misalnya, nyata bahawa bahasa-bahasa seperti bahasa Malaysia, bahasa Indonesia,Jawa,Sunda, Batak,Tagalog,Bugis,Banjar,Minangkabau dan bahasa-bahasa lain disekitarnya adalah berasal dari satu induk iaitu bahasa Melayu.